8 Lokasi Glamping Terbaik di Malaysia Untuk Percutian Perkemahan Yang Mewah!

Jauh dari hiruk-pikuk kota
By: Balqis Ariffin
June 6, 2024

Adakah anda sedang mencari tempat menarik untuk destinasi percutian anda seterusnya? Jika anda ingin bercuti dalam suasana berkemah, namun ingin tetap rasa selesa seperti berada di hotel, anda boleh mempertimbangkan glamping. Seperti namanya, konsep glamping menggabungkan dua perkataan iaitu ‘glamour’ dan ‘camping’ yang memberikan kelainan dalam percutian ala konsep berkemah anda. Dengan dikelilingi keindahan alam semula jadi, namun ciri perkemahan yang mewah, glamping pastinya membantu anda menikmati percutian dengan lebih selesa. Senarai lokasi glamping terbaik di sekitar Malaysia ini sesuai untuk mereka yang ingin reset daripada hiruk-pikuk kota.

Senarai Lokasi Glamping Terbaik di Malaysia 2024

1. Gopeng Glamping Park

Senarai lokasi glamping terbaik yang anda patut lawati antaranya adalah Gopeng Glamping Park yang terletak di Kampung Chulek, Gopeng. Terdapat tiga pilihan kemah iaitu Double Tent, Quad Tent dan Deluxe Tent yang menawarkan pelbagai kemudahan sesuai mengikut jumlah individu. Jika anda bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan melebihi enam orang, anda boleh memilih Deluxe Tent. Berdasarkan pengalaman kami, ia amat selesa kerana dilengkapi dengan katil, kipas, pembersih udara dan juga penghawa dingin. Selain itu, pada hari biasa terdapat bufet sarapan, manakala pada hari minggu pula pelawat akan diberikan Hi Tea, bufet makan malam BBQ, bufet sarapan, dan bufet makan tengahari. Yang paling best, kami dapati mereka juga menawarkan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik seperti berakit, meneroka gua, mendaki Bukit Batu Putih, ATV dan banyak lagi.

Untuk informasi lebih lanjut, sila klik link ini. 

HargaDari RM178
AlamatLot 10846 Jalan Besar Kampung Chulek, 31600 Gopeng Perak
Waktu Daftar Masuk dan Daftar Keluar24 jam
Nombor Telefon+6013 2408 857

2. Tiarasa Escapes

Tiarasa Escapes yang menawarkan kemah ala safari dan vila yang mewah terletak hanya dalam 45 minit perjalanan dari Kuala Lumpur. Terdapat pelbagai pilihan penginapan seperti Dragonfly Tented Villas, Hornbill Tented Villas, Rajah Brooke Family Suites, Ficus Treetop Villa dan White Rajah Presidential Suite. Untuk mereka yang bercuti bersama keluarga, kami sarankan anda memilih Rajah Brooke Family Suites yang dilengkapi dengan dua bilik dan juga tandas. Selain itu, kami amat menyukainya kerana ia turut dilengkapi dengan wifi percuma, serta sarapan pagi. Anda tak perlu risau kerana terdapat beberapa aktiviti-aktiviti seperti papan permainan, unggun api, mendaki, dan juga menonton pawagam bertemankan bintang yang sesuai untuk semua peringkat umur.

Untuk informasi lebih lanjut, sila klik link ini. 

HargaDari RM990
AlamatPersiaran Enderong, Kampung Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang
Waktu Daftar Masuk dan Daftar Keluar3 petang dan 12 tengah hari
Nombor Telefon+6012 887 7777

3. Glamz @ Genting

Sumber: Glamz @ Genting

Di Glamz @ Genting, anda akan dapat beristirahat dikelilingi alam hijau yang indah nian serta kabus yang sejuk. Berdasarkan pengalam kami yang pernah bercuti ke sini, terdapat empat pilihan penginapan iaitu Dome Room, VIP Room with Private Jacuzzi, Bell Tent dan Family Dome. Untuk memastikan pengalaman yang lebih seronok, kami cadangkan agar anda memilih untuk menambah BBQ Pit sebagai aktiviti pada waktu malam. Anda turut boleh meluangkan masa dengan melakukan aktiviti seperti jakuzi, bilik wap, permainan papan, badminton, dan ping pong.

Untuk informasi lebih lanjut, sila klik link ini. 

HargaDari RM203
AlamatLot PT22637, PT22638, PT22639, PT22640, Mukim Bentong, Daerah Bentong, Negeri Pahang.
Waktu Daftar Masuk dan Daftar KeluarSelepas 3 petang dan sebelum 2 tengah hari
Nombor Telefon+6012 664 5269

4. Sea Horizon Resort

Adakah anda sedang mencari lokasi glamping menarik di sekitar Johor? Untuk percutian kali ini, pastikan anda ke Sea Horizon Resort. Berbeza dengan tempat glamping lain yang dikelilingi hutan, Sea Horizon Resort yang terletak di tebing pantai menawarkan panorama pemandangan lautan biru.  Pengalaman kami bercuti di Glamping Suitenya amat menakjubkan. Dekorasinya amat moden dan dilengkapi satu katil besar serta sarapan pagi untuk dua orang. Lokasi ini sesuai jika anda ingin bercuti di pesisiran pantai sambil melakukan aktiviti santai seperti berenang dan berkayak.

Untuk informasi lebih lanjut, sila klik link ini. 

HargaRM830 untuk Glamping Suite
AlamatLot 901, Kuala Sedili Besar, 81900 Kota Tinggi, Johor
Waktu Daftar Masuk dan Daftar Keluar3 petang dan 11 pagi
Nombor Telefon+6012 7719 200

5. The Sticks

Terletak di Kuala Kubu Bharu, The Sticks sesuai untuk mereka yang inginkan percutian dikelilingi hutan yang hijau dan sungai yang jernih. Untuk sampai ke sini, anda perlu mendaki denai selama 10 minit serta menyeberangi jambatan titi gantung sebelum sampai ke The Sticks. Kami sarankan anda memilih serene tendok, yang mempunyai dua pilihan iaitu Serengeti Tent dan Riverside Tendok. Berkonsepkan glamping, kedua-duanya menawarkan peluang untuk pengunjung menginap di dalam khemah namun dengan menggabungkan keselesaan calet. Anda juga dapat menjamu selera dengan sarapan pagi dan makan malam yang termasuk dalam penginapan. Selain mandi sungai, anda juga berpeluang untuk menerokai denai hutan sebagai aktiviti percutian anda. 

Untuk informasi lebih lanjut, sila klik link ini. 

HargaDari RM393
AlamatLot 213 Jalan KKB – Fraser’s Hill,Kuala Kubu Bharu, Selangor
Waktu Daftar Masuk dan Daftar Keluar3 petang hingga 7 malam dan 12 tengah hari
Maklumat Perhubunganbookings@thesticks.my

6. Umea Glam Kundasang

Senarai lokasi glamping terbaik di Malaysia ini pasti tidak lengkap tanpa Umea Glam Kundasang yang mempunyai empat penginapan berkonsepkan kubah. Di sekelilingi kawasan ini, pengunjung dapat menikmati keindahan alam dengan gunung-ganang, kehijauan flora dan awan biru. Menurut pengalaman kami, selain kemudahan yang lengkap, dapur dan bilik air, dekorasi dalamannya juga menarik serta moden, memastikan anda selesa sewaktu percutian. Sebenarnya setiap kubah menawarkan dekorasi yang berbeza, oleh itu jika anda bercuti bersama anak kecil, kami sarankan anda memilih Narvik yang dilengkapi dengan  permaidani di tengah serta ruangan yang selesa, sesuai untuk anak anda bermain.

Untuk informasi lebih lanjut, sila klik link ini. 

HargaDari RM290
Alamatln Golf Course Mesilou, 89308 Kundasang, Sabah
Waktu Daftar Masuk dan Daftar Keluar2 petang dan sebelum 11 pagi
Nombor Telefon+6088 886 005

7. Dusun Bonda

Anda tidak perlu bercuti jauh hanya untuk mengalami percutian ala glamping. Di Dusun Bonda yang terletak satu jam perjalanan dari Kuala Lumpur, anda dapat bercuti di lokasi glamping yang terletak di dusun buah-buahan. Mereka menawarkan penginapan berkonsepkan glamping dengan kemah mewah yang selesa, tetapi anda boleh memilih pemandangan pilihan anda seperti taman dan juga dusun. Pengalaman kami bercuti bersama keluarga di sini amat menyeronokkan kerana tempat ini menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, taman permainan, unggun api, menerokai denia hutan dan mandi sungai. Tambahan lagi penginapan juga termasuk sarapan.

Untuk informasi lebih lanjut, sila klik link ini. 

HargaDari RM400
AlamatLot 2121 (2996) Jalan Ulu Tamu, Kampung Orang Asli Gurney, Ulu Tamu, 44300 Batang Kali, Selangor
Waktu Daftar Masuk dan Daftar Keluar2.30 petang dan 12 tengah hari
Nombor Telefon+6012 663 3667

8. A’moss Farmstay

Apabila anda bercuti ke Cameron Highlands, jangan lupa untuk menginap di A’moss Farmstay yang terletak berdekatan dengan ladang tanaman. Mereka menawarkan tempat penginapan berkonsepkan kubah. Jika anda inginkan kelainan, kami sarankan anda menginap di Mirror Glass Dome, yang merupakan pertama kalinya ditawarkan di Malaysia. Rekaan dalamnya amat moden serta dilengkapi dengan kemudahan asas. Namun jika anda ingin bercuti secara bajet, Dome 1 juga amat selesa untuk dua orang berdasarkan pengalaman kami. Anda juga berpeluang melawat ladangnya atau mendaki denai yang terletak berdekatan tempat penginapan ini.

Untuk informasi lebih lanjut, sila klik link ini. 

HargaDari RM RM299
AlamatKampung Gerak Sepadu, Brinchang ,39000  Cameron Highlands
Waktu Daftar Masuk dan Daftar Keluar3 petang dan 11 pagi
Nombor Telefon+6019 555 0356

Pastikan anda ikuti Glitz di Instagram dan Facebook untuk sebarang informasi terkini.