Resepi Oden Viral Yang Mudah Dan Lazat, Sebijik Macam Family Mart!

Kuah yang kaw, kalah Family Mart
By: Balqis Ariffin
September 28, 2021

Sebut sahaja oden mesti ramai yang terliur! Boleh dikatakan ianya juga antara makanan yang menjadi kegemaran ramai, terutamanya selepas diperkenalkan oleh Family Mart. Walaupun menu tersebut agak ringkas, ianya menjadi kesukaan kerana rasa yang amat lazat dan juga pedas. Pendek kata memang sesuailah dengan tekak orang Malaysia. Memang antara perkara wajib jika anda pergi kedai serbaneka ini adalah membeli oden dan memang tak hairanlah ianya juga dikategorikan sebagai makanan yang viral. Namun disebabkan situasi pandemik dan juga kedai serbaneka tersebut yang tidak beroperasi di beberapa tempat, ramai yang mencuba memasak resepi oden viral ini. Ianya bukan sahaja jauh lebih murah, malahan lebih sedap! Resepi oden viral ini memang mudah untuk sesiapa sahaja mencubanya. Tak kiralah kalau anda baru belajar memasak atau dah pro, memang confirm sedap! Jom cuba resepi oden viral di bawah ini!

Apa sebenarnya oden ni? Kalau sebut oden, kebanyakkan mesti bayangakn kuah tom yam dengan fishball serta mee. Oden sebenarnya sejenis makanan Jepun dan boleh dianggap macam stew. Selalunya, kuah oden diperbuat menggunakan dashi, iaitu campuran ramuan seperti air, kombu atau rumpai laut dan juga bonito flakes. Resepi oden yang dijual di Jepun mengandungi telur rebus, kek ikan, rumpai laut dan daikon. Namun di sana terdapat juga yang menggunakan perencah paket kerana ianya lebih mudah dan senang.

Resepi Oden Viral yang Sedap dan Ringkas, Pasti Keluarga Anda Tak Puas Makan!

Resepi oden viral ini memang mudah dan yang paling penting anda tak perlu nak bersusah payah beratur lagi! Hanya dengan beberapa bahan, anda boleh menikmati oden di rumah anda. Ianya juga tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak, sesuai untuk mereka yang inginkan hidang panas dalam beberapa belas minit.

Ramuan yang Diperlukan

Bahan-Bahan:

  • 1.5 liter air
  • 2 kiub pati ayam
  • 1 sudu gula atau secukup rasa
  • 1 paket perencah tom yam Adabi
  • 2 paket perencah sup siam Adabi
  • 1 paket perencah asam pedas Adabi

Ramuan untuk oden:

Bahan yang tersenarai di bawah hanyalah cadangan sahaja dan anda boleh menambah ramuan kesukaan anda juga. Anda boleh membeli bahan-bahan di bawah di bahagian frozen mana-mana pasar raya berdekatan rumah anda. Jika anda ingin menikmati ramuan ini seperti di Family Mart, anda boleh mencucuk bahan di bawah menggunakan lidi sate.

  • Kek ikan
  • Bebola ikan
  • Jagung
  • Bebola ayam
  • Jejari ketam

Cara-Cara untuk Membuatnya

Sumber: Cik Puan Emma
  1. Campurkan kesemua jenis perencah termasuk tom yam, sup siam dan asam pedas ke dalam air dan biarkannya mendidih.
  2. Anda boleh menambah perasa jika perlu dan sesuaikannya mengikut selera anda, dari segi kepekatan mahupun kepedasan.
  3. Selepas itu, masukkan bahan-bahan yang lain seperti kek ikan, jagung, jejari ketam, sayur ataupun cendawan
  4. Biarkan seketika agar kuahnya mendidih dan pastikan ramuan oden tersebut telah dimasak dengan sempurna
  5. Hidangkannya dalam mangkuk dan selamat menjamu selera

Memang mudah bukan resepi oden viral ini? Hanya dengan 5 langkah anda boleh nikmati oden ala Family Mart di rumah sahaja. Pastikan anda menjamunya semasa ianya masih panas!

Tips Glitz

Untuk mereka yang inginkan resepi oden viral yang lebih kaw, kami di Glitz ada beberapa tips khas untuk anda!

  • Jika anda ingin menyerlahkan lagi rasa tom yam tersebut, anda boleh menambah beberapa helai daun limau purut dan juga serai
  • Anda juga boleh menambah udon ataupun bihun mengikut selera anda
  • Terdapat juga yang menambah tom yam paste yang dijual di Family Mart agar rasa yang lebih sama da ianya jauh lebih mudah
  • Untuk mereka yang menyukai rasa pedas yang kick, anda boleh menambah beberapa cili padi
  • Untuk rasa yang lebih enak, pastikan anda masukkan beberapa jenis makanan laut seperti udang, sotong ataupun ikan
  • Tambahkan krimer sejat jika anda inginkan rasa tom yam yang lebih berlemak dan sedap

Selamat mencuba dan pastikan anda ikuti kami di Instagram juga Facebook untuk sebarang informasi terkini!