11 Drama Melayu Viral Yang Anda Wajib Tonton

Drama yang paling top!
By: Balqis Ariffin
July 6, 2022

Dengan lambakan tayangan drama Melayu, pasti ramai antara anda yang sering kali melekat di hadapan televisyen untuk melihat siaran drama kesukaan pada waktu petang atau malam. Malahan, boleh dikatakan hari kita tidak lengkaplah tanpa menghabiskan masa terluang menontonnya bersama seisi keluarga. 

Kebanyakkan drama Melayu ini yang diadaptasikan dari novel ciptaan penulis tempatan menjanjikan jalan cerita yang menarik dan juga barisan pelakon yang mantap. Oleh itu tidak hairanlah slot drama di stesen televisyen sering menjadi rebutan. Senarai drama Melayu viral yang kami pilih ini bukan sahaja mencapai rating yang tinggi, tetapi ianya juga popular di kalangan penonton. 

Senarai Drama Melayu Viral Yang Paling Best 2022

7 Hari Mencintaiku

Dibintangi oleh Siti Saleha, Shukri Yahaya dan Wan Sharmila, 7 Hari Mencintaiku berjaya memecah rekod dengan 12 juta penonton serta memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2017. Diadaptasi dari novel nukilan Siti Rosmizah, drama yang penuh konflik ini menceritakan kisah percintaan Mia Adriana dan Khuzairi yang penuh berliku. Diketahui ramai sebagai drama Melayu yang best bersiaran di TV3, 7 Hari Mencintaiku telah menerima sambutan hangat dan ditayangkan sehingga siri ketiga. 

Tonton di: iQIYI 

Khilaf Asmara 

Drama Khilaf Asmara menampilkan gandingan barisan pelakon seperti Fattah Amin, Fasha Sandha, Fahrin Ahmad dan Nelydia Senrose. Ditayangkan di slot Samarinda TV3 pada pertengahan bulan April 2022, drama ini menceritakan perkahwinan Aizat (Fahrin Ahmad) dan Hanim (Fasha Sandha) yang hampir musnah akibat hubungan sulit Hanim bersama rakan suaminya Luqman (Fattah Amin). Jika anda ingin mengetahui pengakhiran kisah mereka pastikan anda menonton drama ini. Dengan jalan cerita yang sarat konflik, ianya antara drama Melayu yang paling top pada tahun ini.

Tonton di: Disney+ Hotstar 

Jangan Benci Cintaku

Jangan Benci Cintaku menampilkan 28 episode yang mengisahkan kisah cinta segi tiga antara Husna, Fika dan Shah. Drama ini menampilkan lakonan mantap pelakon Saharul Ridzwan, Zahirah MacWilson dan Niena Baharun. Walaupun, jalan ceritanya agak klise drama ini meninggalkan emosi yang mendalam sehingga mencapai 12 juta tontonan. Ditambah dengan lakonan ketiga-tiga pelakon utamanya, drama tersebut menjadi tular apabila bersiaran pada tahun 2018.

Tonton di: Tonton

Pujaan Hati Kanda

Dengan sinopsis yang menarik dan barisan pelakon handal, Pujaan Hati Kanda sudah semestinya menjadi pilihan orang ramai sebagai drama Melayu yang paling best. Jalan ceritanya mengisahkan Danny (Remy Ishak) seorang playboy yang ingin bernikah bersama kekasih hatinya (Nadine (Sarah Hildebrand). Namun mahligai yang mereka ingin bina terpaksa dihentikan apabila Danny dikejutkan dengan kehadiran bayi lelaki yang berserta kad ucapan kepadanya. Danny yang ingin mencari pengasuh dipertemukan dengan Tiara (Mira Filzah), seorang pelajar universiti yang mengalami masalah kewangan. Semenjak itu, bibit-bibit cinta antara Danny dan juga Tiara mula berputik. Apakah kesudahan kisah cinta mereka?

Tonton di: iQIYI 

Curi-Curi Cinta

Curi-Curi Cinta merupakan sebuah siri drama yang ditayangkan di saluran Astro Ria pada tahun 2019. Drama ini mengisahkan Intan Raihana (Zahirah MacWilson) seorang gadis yang dilahirkan dalam keluarga yang susah. Intan yang terpaut dengan kekayaan yang dimiliki oleh Daniel Hakim (Aiman Hakim Ridza) sanggup melakukan apa sahaja agar Daniel menjadi miliknya meskipun dia mempunyai hubungan dengan sepupu Intan, Fariza (Uyaina Arshad).  Setelah diperangkapkan untuk berkahwin, Intan dan Daniel menghadapi pelbagai rintangan. Apabila Intan disahkan mengandung, perasaan sayang mula berputik antara mereka.

Tonton di: Sooka 

Perempuan Tanpa Dosa

Apabila disebut sahaja drama Melayu yang viral, Perempuan Tanpa Dosa pastinya terpahat di hati penonton. Drama arahan Michael Ang ini bersiaran pada tahun 2020 di slot MegaDrama Astro Ria. Ianya menampilkan barisan pelakon seperti Kamal Adli,  Uqasha Senrose, Uyaina Arshad, Yusuf Bahrin, Zac Zaky dan Hilal Azman. Untuk menutup aib akan anak yang dikandungnya, Datuk Majid (Hilal Azman) mengahwinkan anak tunggalnya, Lily (Uqasha Senrose) dengan Rizal (Kamal Adli). Setelah perasaan berputik, Eddie (Zac Zaky) cuba merebut kembali cinta Lily dan juga anaknya. Walaupun Lily ingin memilih untuk terus bersama Rizal, dia membawa diri setelah mengetahui hubungan Rizal and Usu Sakinah (Uyaina Arshad).  Disebabkan sambutan yang diterima memberangsangkan, beberapa episod telah ditambah sebelum tayangan terakhir. 

Tonton di: Sooka 

Dia Menantu Rahsia

Dia Menantu Rahsia memaparkan kisah cinta yang penuh konflik dibarisi pelakon Raysha Rizrose, Ashraf Muslim dan Syazuwan Hassan. Disiarkan pada tahun 2019, ianya merupakan antara senarai drama Melayu di TV3 yang meraih populariti. Apabila mengetahui pertunangan antara Zamer (Syazuwan Hassan) dan Doktor Suraya, Melissa (Raysha Rizrose) membawa diri ke Kuala Lumpur. Di sana, dia telah dilamar oleh Syakir (Ashraf Muslim), pemilik tempat kerjanya. Syakir berbuat keputusan demikian  kerana ingin melindungi Melissa daripada Zamer dan juga menghalang dirinya dari dikahwini oleh Engku Kamelia. 

Tonton di: TV3 

Abang Bomba I Love You

Abang Bomba I Love You merupakan antara drama Melayu yang paling sweet, sesuai  bagi mereka yang ingin menonton siri yang sarat dengan kisah percintaan dan juga dendam. Kisahnya bermula apabila, Lily (Amira Othman) dan Rayqal (Hisyam Hamid) berkenalan sehingga Lily jatuh hati pada lelaki tersebut. Namun Rayqal hanya menganggap Lily sebagai adik dan hubungan mereka makin renggang apabila  Mawar (Nadya Syahera)  kakak kandung Lily bercinta dengan Rayqal.  Dengan perkahwinan yang bakal berlangsung, Lily membawa diri ke bumi asing namun adakah kepulangannya membawa seribu satu makna? 

Tonton di: Sooka 

Lelaki Kiriman Tuhan

Drama Lelaki Kiriman Tuhan telah diadaptasikan daripada novel karya Umie Nadzimah. Ditayangkan pada 2018, ianya dibintangi oleh pelakon Mira Filzah, Remy Ishak, Kartina Aziz, Uyaina Arshad dan Rozita Che Wan. Kisah Naira (Mira Filzah) dan Raid (Remy Ishak) mula berputik sehingga ke jenjang pelamin walaupun perkahwinan mereka ditentang oleh abang kandung Naira. Setelah berbulan madu, setiap satu rahsia mengenai Raid telah terungkai yang mampu memusnahkan mahligai yang baru dibina. Dengan jalan cerita yang menarik serta lakonan yang mantap, drama ini berjaya meraih populariti.

Tonton di: Sooka 

Tarik Aku Ke Syurga

Arahan Malek Rahman, Tarik Aku Ke Syurga merupakan siri drama televisyen yang ditayangkan di saluran TV3. Walaupun ianya disiarkan pada pertengahan tahun 2022, drama ini telah menarik perhatian warga tempatan dengan jalan cerita yang menarik dan penuh emosi. Drama ini yang dibintangi oleh Zul Ariffin dan Nelissa Nizam, menampilkan kisah hidup Zamri yang merupakan seorang kaki perempuan. Demi ibunya, Zamri telah berkahwin dengan seorang wanita bernama Zara namun kebahagian mereka diganggu apabila bekas kekasih Zamri membawa anak luar nikah hasil hubungan mereka.

Tonton di: iQIYI 

Sweet Dreams

Sweet Dreams yang menampilkan gandingan sulung Mira Filzah dan juga Ben Amir berjaya memaut hati penonton tempatan dengan kisah cinta yang menarik. Drama siri ini ditayangkan pada tahun 2019 dengan 20 episode dan pengakhirannya menerima sambutan hangat sehingga viral. Jalan ceritanya mempunyai sedikit kelainan dengan kisah Putri Nasuha (Mira Filzah) seorang gadis bisu yang agak lincah dan juga clumsy. Pertemuan tanpa disangka dengan Qash Adams (Ben Amir) yang mempunyai kuasa untuk melihat masa hadapan telah memulakan kisah percintaan antara mereka. 

Tonton di: iQIYI

Pastikan anda ikuti Glitz di Instagram dan Facebook untuk sebarang informasi terkini.